Thursday 2 June 2011

Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke 53 TUDM

Yang Berbahagia Mantan-Mantan Panglima Tentera Udara, Panglima-Panglima, Dato’- Dato’, tetamu jemputan TUDM dan seluruh warga TUDM yang saya kasihi.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera.

Marilah kita mengangkat kesyukuran kehadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan izin dan inayahNya kita dapat berkumpul di pagi ini dalam acara perbarisan sambutan Hari Ulang Tahun TUDM Ke 53.
Warga TUDM Dan Saudara Saudari Yang Dihormati Sekelian,

Tahun ini merupakan julung kali kita mengadakan Sambutan Hari Ulang Tahun TUDM di pangkalan hadapan setelah 53 tahun TUDM ditubuhkan. Saya melihat inisiatif ini sebagai satu perubahan yang amat positif dengan objektif untuk mendekati masyarakat umum di lokasi hadapan. Saya turut berbangga kerana pada tahun ini juga, kita membuat satu pembaharuan dengan penglibatan pelajar-pelajar dan anggota PALAPES Udara untuk turut serta dalam berbagai aktiviti yang telah dianjurkan. Langkah ini selaras dengan tema sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke 53, Iaitu “Engaging The Talent”. Talent yang kita sasarkan adalah berupa bakat-bakat ‘dalaman’ dan ‘luaran’.

‘Bakat dalaman’ merupakan idea dan kebolehan yang boleh dicungkil dari kalangan anggota TUDM dalam konteks menjana idea inovasi dan kreatif. Manakala ‘bakat luaran’ pula adalah dari pemuda dan pemudi yang bakal menyertai TUDM. Bertolak dari sinilah maka kita mempelawa pelajar-pelajar dari universiti dan sekolah-sekolah untuk melihat sendiri peranan dan tugas-tugas yang dilaksanakan oleh TUDM. Dengan pendekatan sedemikian, adalah diharapkan minat remaja akan dipupuk bukan sahaja untuk menyertai TUDM, malah berusaha menyumbang idea dan tenaga untuk memartabatkan lagi TUDM.

Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Tentera Udara di atas prestasi dan kecemerlangan TUDM selama 53 tahun yang telah membuktikan keupayaannya mempertahankan ruang angkasa dan kedaulatan negara. Ini adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan yang sedang pesat melaksanakan program transformasi di peringkat Nasional. TUDM juga tidak ketinggalan dalam mendokong aspirasi tersebut, melalui pelan transformasi Air Force Next Generation. Pelan tersebut, mensasarkan Tentera Udara untuk mencapai objektif sebagai Angkatan Udara Berspektrum Penuh menjelang tahun 2020. Melalui strategi yang telah digariskan, dengan kerjasama padu dari seluruh warga TUDM, saya amat berkeyakinan Tentera Udara akan mencapai visi strategiknya untuk menjadi sebuah kuasa udara yang dominan.

Setelah setahun dilancarkan, saya merasa bangga untuk menyatakan bahawa pelan transformasi AF-NG telah menunjukkan keberhasilan yang dirancangkan. Pada peringkat fasa pertama dalam jangka masa 2010 – 2012, AF-NG memberi tumpuan kepada Warga Pasukan iaitu ‘Kesediaan Untuk Perubahan’. Pada fasa ini objektif yang disasarkan adalah Merubah Mindset warga Tentera Udara dan bersedia untuk melaksana proses transformasi. Berbagai aktiviti yang telah diaturkan pada fasa ini, umpamanya meningkatkan kesedaran melalui pelbagai kaedah pendekatan, penerangan, syarahan, dan road show di bawah kelolaan Bahagian Pengurusan Strategik.

Aktiviti lain yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini adalah melakukan Kajian Kepuasan Pelanggan yang bertujuan untuk menilai tahap kepuasan warga Tentera Udara terhadap aspek-aspek kepimpinan, pekerjaan, infrastruktur, dan fasilitas yang disediakan oleh perkhidmatan. Hasil kajian ini akan dijadikan asas untuk menambah baik segala kekurangan yang telah dikenal pasti melalui penjanaan idea-idea kreatif bagi menyokong proses transformasi secara tuntas.

Walaupun kita berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk merealisasikan keberhasilan AF-NG, usaha menyeluruh yang berterusan oleh segenap lapisan warga TUDM adalah pemangkin utama bagi mencapai objektif transformasi yang ditetapkan. TUDM, sebagai sebuah organisasi yang mengutamakan Keberhasilan Strategik dalam setiap Bidang Pengurusan, Operasi dan Latihan, pergantungan kepada aset sedia ada menjadi faktor penentu untuk menentukan kejayaan perlaksanaan setiap operasi. Sebagaimana lazimnya, setiap aset dan kelengkapan akan mengalami Kitaran Hayat atau ’Life Cycle’ yang memasuki fasa keusangan. Sungguh pun demikian, kegunaannya masih memberi kesan yang diperlukan sekiranya setiap aset tersebut diurus dengan baik dan beroperasi sepenuhnya. Daya usaha yang lebih gigih melalui Kreativiti dan Inovasi dalam mengurus aset sedia ada akan mampu mengoptimumkan pengoperasian asset yang dimiliki.

Selain itu, TUDM perlu terus merancang untuk memperolehi keupayaan baru. Sebagai salah satu Strategi Memperkasa Keupayaan TUDM untuk mengawas ruang angkasa negara, adalah melalui Perolehan Aset Baru yang termoden dan berteknologi tinggi dalam masa terdekat ini secara berperingkat. Antaranya, TUDM akan memiliki Helikopter EC 725 mulai 2013 bagi meningkatkan keupayaan tugas-tugas mencari dan menyelamat. Seterusnya, mulai tahun 2012 hingga 2014, sistem persenjataan dan radar pertahanan udara merupakan aset baru bakal dimiliki bagi meningkatkan lagi keupayaan pesawat-pesawat canggih TUDM dalam operasi pertahanan dan pertempuran di udara. Manakala perolehan pesawat A400m dijangka akan diterima mulai tahun 2015.

Dalam konteks ini, perolehan aset-aset baru tersebut adalah bercirikan teknologi Digital dan Hi-End. Sayugia, saya menyeru setiap warga TUDM supaya bersedia untuk meningkatkan kualiti pengetahuan dan kemahiran ke tahap yang tinggi supaya asset-aset baru tersebut dapat dikendali dan disenggara dengan sempurna tanpa pergantungan kepada pihak luar.

Perwira dan Perajurit Udara Sekelian,

Dalam era kepesatan negara membangun, kerajaan telah merangka dan sedang melaksana berbagai program di peringkat nasional. Umpamanya Program Transformasi Kerajaan (Government Transformation Programme) yang menekankan pencapaian Bidang Keberhasilan Utama (Key Result Area). Pencapaian yang disarankan oleh kerajaan di bawah KRA tersebut diterjemah kepada National Key Result Area (NKRA) dengan objektif meningkatkan taraf hidup, ekonomi, dan keselamatan nasional.

Menyahut aspirasi kerajaan tersebut, TUDM telah merangka strategi jangka panjang melalui pembangunan Sistem Kesiagaan Strategik (Strategic Readiness System). Melalui sistem ini, TUDM menstrategikan pencapaian tahap kesiagaan yang tertinggi untuk sedia melaksanakan misi Mempertahankan Kedaulatan Negara, Integriti dan Kepentingannya Melalui Penggunaan Kuasa Udara Yang Berkesan.
Untuk menghadapi cabaran keselamatan dan pertahanan negara, TUDM sentiasa peka dengan Isu-Isu Keselamatan Di Peringkat Serantau, umpamanya permasalah tuntutan bertindih sempadan, persaingan kuasa ekonomi di Laut China Selatan, aktiviti pencerobohan kawasan maritim dan ruang angkasa. Dalam usaha membendung isu-isu yang boleh mengancam keamanan dan kedaulatan Negara, TUDM bersama-sama dengan agensi keselamatan lain akan terus memainkan peranan sebagai peneraju unggul dan sentiasa di hadapan untuk menangkis sebarang ancaman dari luar terhadap negara.

Manakala di peringkat global pula, TUDM telah membuktikan keupayaannya setelah berjaya melaksanakan misi yang diamanah. TUDM secara langsung telah menaikkan imej Malaysia di mata antarabangsa, melalui beberapa kecemerlangan dalam operasi bantuan kemanusiaan, seperti Operasi Piramid di Mesir.
Begitu juga, penglibatan dalam operasi misi pengaman PBB, kita telah membuktikan kemampuan melaksana operasi jarak jauh dan memasuki kawasan yang berkonflik di Afghanistan tanpa sebarang kecelakaan dan musibah terhadap pesawat dan krew yang terlibat. Kejayaan tersebut merupakan pencapaian cemerlang yang amat membanggakan, di mana secara langsung telah meningkatkan kepercayaan terhadap keupayaan TUDM oleh kerajaaan dan masyarakat umum, malah di peringkat antarabangsa.

Perwira dan Perajurit Udara Sekalian,
Untuk melaksanakan proses transformasi dengan jayanya, warga pasukan yang Berdisiplin Tinggi merupakan salah satu faktor penting bagi sesebuah organisasi untuk mencapai prestasi cemerlang. Kebelakangan ini, masih terdapat berbagai masalah disiplin di kalangan anggota-anggota, seperti masalah gejala sosial, melanggar peraturan, dadah, dan lain-lain aktiviti tidak bermoral. Saya khuatir sekiranya gejala disiplin ini tidak dibendung dengan sepenuhnya, ia akan mengundang persepsi negatif masyarakat umum terhadap TUDM. Keprihatinan setiap pemimpin dari semua peringkat untuk mengatasi permasalahan ini secara berterusan wajar dilaksanakan melalui berbagai program kesedaran dan pendidikan di peringkat Markas dan pasukan.

Selain masalah disiplin, kita juga masih berhadapan dengan gejala aktiviti skim cepat miskin yang masih berleluasa samada dalam organisasi atau di luar pasukan. Fenomena ini akan terus berlaku sekiranya anggota-anggota gagal Mengurus Kewangan masing-masing dengan baik. Saya berharap agar setiap anggota merancang pengurusan kewangan masing-masing dengan bijaksana demi untuk menjamin kesejahteraan masa hadapan individu dan keluarga.

Seiring dengan arus transformasi yang giat dilaksanakan, saya ingin melihat organisasi TUDM diperkukuhkan dengan Institusi Kekeluargaan yang penuh harmoni dan sejahtera. Dalam menjalani kehidupan harian di samping memikul tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan, saya menyeru seluruh warga TUDM agar tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Dalam sesebuah keluarga, anak-anak merupakan aset yang amat bernilai bagi keluarga tersebut. Sebagai pemimpin dalam sebuah keluarga, sewajarnya ibu bapa memberi perhatian penuh dan komited untuk membangunkan masa hadapan anak-anak dengan pendidikan formal dan tidak formal, keagamaan, dan pembentukan akhlak yang sempurna.
Di samping itu, kepada anggota-anggota yang tinggal dalam lingkungan rumah keluarga, Semangat Kekeluargaan amat perlu di pupuk melalui semangat permuafakatan, saling membantu dan mewujudkan komuniti keluarga TUDM yang harmoni. Hubungan silaturrahim antara keluarga boleh diperkukuh melalui berbagai program sosial dan khidmat sukarela yang bermanfaat kepada komuniti setempat dari masa ke semasa.

Perwira dan Perajurit Udara Sekelian,
Corak Peperangan masa hadapan adalah semakin kompleks, dimana Penguasaan Teknologi merupakan faktor pengukur kekuatan sesebuah Angkatan Tentera. Kita sedia maklum, setiap aset dan sistem persenjataan yang bakal kita miliki adalah berasaskan dan dilengkapi dengan teknologi tinggi. Untuk menyahut cabaran peperangan moden yang berunsurkan teknologi digital, sayugia diingatkan kepada seluruh warga TUDM supaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi ke tahap yang lebih tinggi.

Disamping pembudayaan teknologi, saya juga amat berharap agar setiap warga menerapkan budaya kerja Berinovatif, Kreatif, dan Berfikiran Luas sebagai proses penambahbaikkan berterusan dalam semua bidang. Kita ingin melihat organisasi TUDM masa hadapan sebagai sebuah organisasi Cemerlang Dan Berprestasi Tinggi.

Insya Allah, hasrat tersebut akan menjadi kenyataan apabila kita terus Komited Mengamal Dan Menghayati Nilai-Nilai Teras Tentera Udara sebagai budaya organisasi. Nilai-nilai teras tersebut yang merangkumi integriti, keberanian, kecemerlangan, semangat setia kawan (Esprit De Corps), dan mendahulukan perkhidmatan dari diri sendiri.

Akhir kata, pada hari yang gemilang ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Sekretariat Perbarisan HUT, Komander Pangkalan Udara Butterworth dan seluruh pegawai dan anggota yang telah bertungkus lumus dalam membuat persediaan rapi untuk menjayakan sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke 53. Begitu juga kepada seluruh pegawai dan anggota perbarisan, syabas saya ucapkan kerana telah mempamerkan mutu dan disiplin yang tinggi dalam perbarisan yang kita saksikan sebentar tadi. Kepada pelajar-pelajar dan anggota pasukan PALAPES, saya berharap saudara-saudari mendapat manfaat berguna dari acara-acara yang telah disertai. Semoga pengalaman yang telah saudara-saudari perolehi akan menanam minat mendalam untuk menyertai TUDM sebagai Profesion Pilihan Utama di masa hadapan.

Sekian, Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun TUDM Ke 53 dan bersama-sama kita melakukan transformasi untuk memartabatkan TUDM sebagai organisasi cemerlang.

Sumber: http://www.airforce.gov.my

2 comments: